Saturday, September 8, 2012

Z A K A T & A S N A F Ada yang masih keliru dan masih tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan zakat asnaf dan apa itu asnaf. insyaAllah diharap anda akan memahaminya dan dapat menyampaikan kepada rakan-rakan kita mahupun sesiapa jua di luar sana.. Zakat adalah salah satu pintu amal, pintu kebaikan dan pintu untuk mendapat pahala yang besar. Asnaf ialah golongan yang layak menerima zakat. “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solat dan mereka yang meninggalkan perkara yang sia-sia dan juga mereka yang mengerjakankan zakat” (Al-Mukminun : 1-4) Harta dan rezeki yang ada pada kita adalah pinjaman atau pemberian Allah untuk kita uruskan penggunaannya. Ia tidak kekal pada kita, bahkan ada tuntutan yang perlu kita dilaksanakan sebagai pengurus harta tersebut. Salah satu tuntutan tersebut ialah zakat. ASNAF @ Golongan yang layak menerima zakat. 1)Fakir Orang yang tidak mempunyai harta atau usaha yang dapat menghasilkan 50 peratus daripada keperluan hidupnya seharian (pendapatannya kurang daripada 50%). 2)Miskin Orang yang mempunyai harta dan usaha yang dapat menghasilkan lebih daripada 50% untuk keperluan hidupnya seharian tetapi tidak mencukupi. (Pendapatannya tidak mampu memenuhi keperluan harian). 3)Amil Orang yang dilantik atau pekerja-pekerja (kakitangan) yang boleh dipercayai mengurus hal ehwal zakat, mengumpul dan membahagikan kepada yang berhak menerimanya sesuai dengan Hukum Syarak. 4)Muallaf Orang yang baru memeluk Islam dan keimanannya belum lagi kukuh. Mereka ini perlu dijinakkan hatinya ataupun seseorang yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam.Nota: Mereka yang telah bertahun-tahun memeluk Islam terkeluar daripada asnaf muallaf. 5)Al-Riqab Hamba yang dijanjikan oleh tuannya untuk dimerdekakan dengan cara menebus dirinya dengan sejumlah wang. Dan juga, membebaskan kaum muslimin daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan sama ada dari segi fizikal, mental, kejahilan ataupun terkongkong di bawah penguasaan orang yang zalim. 6)Al-Gharimin Orang yang terpaksa berhutang disebabkan keperluan mendesak yang tidak berlebih-lebihan bagi diri dan masyarakat Islam yang bukan kerana maksiat (nafsu). 7)Fisabilillah Aktiviti-aktiviti atau perjuangan di jalan Allah S.W.T seperti menegak syiar Islam, menuntut ilmu dan seumpamanya. 8)Ibnu Sabil Orang yang kekurangan bekalan dalam perjalanan dengan tujuan baik seperti menyiarkan ajaran Agama Islam dan seumpamanya. Menurut para fuqaha dan ahli tafsir. Penggunaan huruf 'Li' di awal asnaf empat dan 'Fi' bagi empat asnaf berikutnya dalam surah Al-Taubah ayat 60 sudah menunjukkan hak asnaf bagi harta zakat dan menafikan masuk campur pengurus dan pentadbir zakat menggunakan harta tersebut. Dalam surah Al-Taubah ayat 60 Allah Taala berfirman: إنما الصدقات للفقراء والمساكين والعاملين عليها والمؤلفة قلوبهم وفي الرقاب والغارمين وفي سبيل الله وابن السبيل فريضة من الله والله عليم حكيم 'Li' bagi empat asnaf iaitu fakir, miskin, amil dan muallaf menunjukkan harta tersebut menjadi milik sempurna bagi mereka dan boleh digunakan untuk apa sahaja bagi urusan kehidupan asnaf tersebut. Manakala 'Fi' bagi ansaf al-Riqab, al-Gharimin, Fi Sabilillah dan Ibnu Sabil menunjukkan harta zakat tersebut mesti dimanfaatkan dalam skop yang telah ditetapkan oleh syarak.

Tuesday, November 17, 2009

Di Sebalik Kehidupan

Ya Allah Yang Maha Bijaksana
kerana Engkau aku diciptakan
sepanjang kehidupan
pelbagai ku temukan
pelbagai ku rasakan
pelbagai juga ujian

Tidaklah menyesal bagi orang-orang yang memikirkan
lagi banyak kenangan serta pengalaman
oh indahnya pandangan selain insan
ku temui ratusan tumbuhan
ku jumpai bermacam haiwan
namun aku sedari
banyak lagi yang belum ku pandang ciptaan Ar-Rahman

Kehijauan pokok amat memukaukan
ditambah pula alam semulajadi yang menyegarkan
kadang kala terpegun kerana terpesona
kadangkala hati ingin meluahkan kata-kata

Pabila aku menimba ilmu pengetahuan
aku juga berpeluang untuk berkenalan
nun jauh di pedalaman
sehingga kami Engkau satukan ya Allah
lalu terjalin sebuah perhubungan

Pabila ku duduki satu kawasan
aku dibalas 1001 kenangan
oh alangkah indahnya yang Allah berikan
berkat kesabaran banyak kejayaan

Pabila difikir setiap saat perjalanan kehidupan
nikmat kesyukuran tidak dapat ku hitungkan
memang itulah yang sering dikatakan
Rahmat Tuhan

Pabila ku memijak di satu kawasan yang baru
tanpa berbalut tiada pula sepatu
lalu ditusuk sang duri yang tajam
sudah pastinya kepedihan yang aku rasakan

Begitu jualah tika di ambang perpisahan
pabila ingatan semakin tajam
lalu berkumpul bermacam kenangan
melekat pula sebuah pengalaman
sudah pastinya kesedihan yang dirasakan
kerana indah di imbau manis dikenang

Daun yang hanyut di sungai
dapat dikupmul di dalam jala
terpaut hati balik ke sana
ingin membalas jasa mereka
sambil menghubung satu keluarga
nun jauh di muara
dunia yang sementara
tidak terkata nikmat pemberian Nya

Itulah Allah sangat Bijaksana
menurunkan rahmatNya dan mengeluarkan isi-isi dunia
lalu bergembira sekalian manusia
pastinya bersyukur kepada yang Esa

Allah memerhati setiap masa
Dia menanti setiap hambaNya
memberi kejayaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya

Oh dunia
engkau tetap sementara
Akhirat jua kekal selamanya
moga Allah memberi kebahagiaan hidup di sana

Monday, April 27, 2009

BERBANGGA DAN BERSYUKUR

ADA ORANG...,
berbangga dengan apa yang ada,
berbangga dengan makanan yang dibelinya,
berbangga dengan hartanya,
berbangga dengan pangkatnya,
berbangga dengan darjatnya,
berbangga dengan rumahnya,
berbangga dengan keretanya,
berbangga dengan kerjayanya,
berbangga dengan pakaiannya,
berbangga dengan perhiasannya,
berbangga dengan suaranya,
berbangga dengan wajahnya,
berbangga dengan rupanya,
berbangga dengan kerabatnya,
berbangga dengan keturunannya,
berbangga dengan keluarganya,
berbangga dengan kedudukannnya,
berbangga dengan dunianya...........,

ADA ORANG...,
bersyukur dengan apa yang ada,
bersyukur dengan makanannya,
bersyukur dengan hartanya yan tak seberapa,
bersyukur dengan pangkatnya,
bersyukur dengan darjatnya,
bersyukur dengan rumahnya,
bersyukur dengan kenderaannya,
bersyukur dengan kerjayanya,
bersyukur dengan pakaian lusuhnya,
bersyukur dengan perhiasan rendah dirinya,
bersyukur dengan suaranya,
bersyukur dengan wajahnya,
bersyukur dengan rupanya,
bersyukur dengan kerabatnya,
bersyukur dengan keturunannya,
bersyukur dengan keluarganya,
bersyukur dengan kedudukannya,
bersyukur dengan dunianya..........,

NAMUN........
AKHLAK YANG MULIA LAH,
MENDAPAT BERKAT,
MENDAPAT DARJAT,
MENDAPAT PANGKAT,
MENDAPAT SELAMAT,
MENDAPAT TEMPAT DI DUNIA DAN DI AKHIRAT....
WALLAHUALAM.

YA ALLAH YA TUHANKU,
ASTARGFIRULLAH...AMPUNKANLAH DOSAKU,
AMPUNKANLAH DOSA KAMI YA ALLAH,
SESUNGGUHNYA ENGKAU MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA PENYAYANG.AMIIN

Wednesday, February 25, 2009

Tabahlah Wahai Saudaraku

Biarlah dimalukan kerana kekurangan duniawi, daripada dipuji kerananya,
Biarlah suara yang hodoh diperkata manusia asalkan berjaya menyampaikan ajaran agama,
Biarlah tercorot dalam sesuatu perkara asalkan agama di puncak yang tinggi,
Biarlah orang mengata dengan kehendak nafsunya asalkan kita tetap mengingati Yang Maha Esa,
Biarlah air muka jatuh di dunia asalkan di akhirat wajah kita bercahaya,
Biarlah membisu terpaku daripada mengeluarkan kata-kata yang menyakiti hati orang lain,
Biarlah bersama orang di bawah daripada bersama dengan orangyang kurang manis tutur bahasanya,
Maka tabahlah wahai insan,
Bersabarlah menghadapi rintangan dan cabaran,
Lakukanlah Solat untuk mengubati segala-galanya,
Sesungguhnya Allah Ta'ala beserta orang-orang yang bersabar.
Semoga Allah mengampuni dosa-dosa orang yang terlupa, terlalai dan melampaui batas.
Amiin ya robbal 'alamin

Tuesday, February 24, 2009

Kehidupan yang sementara

Gejolak kehidupan,
Bumi direnjis dengan darah,
Kezaliman memukau di persada antarabangsa,
Begitulah sketsa duniawi,
Didiami pelbagai ragam manusia,
Bila merasai diri cemerlang,
gemilang dan terbilang,
Namun ada yang masih tak sedar diri,
Ganjaran dan pangkat menjadi saksi,
Merebut takhta ajaran dilupa,
Kala syaithon mengawal emosi,
Ditambah pula dikunci hati,
Keringlah kalimah di sanubari,
Lalu,
Berbuat jahat dikatakan indah,
Tidak lesu berdengki dan membenci,
Kerana merasakan diri sudah berisi,
Bila mendapat kuasa dikedua belah tangannya,
Berbicara dunia walhal sementara,
Lalu,
Membanggakan diri dari timur hingga ke barat,
Sibuk sentiasa mengejar kebendaan,
Lebih membimbangkan kegoyahan pangkat juga darjat,
Melupakan hari esok yang tak tahu jadinya,
Sanggup melakukan kezaliman sesama insan,
Hinggakan yang tak berdosa menjadi mangsa,
Apatah lagi Menghormati sesiapa,
Tatkala tangisan bergema sedunia,
Melihat bungkusan mayat tak kira usia,
Dibunuh kejam manusia durjana,
Lalu dilafaz oleh yang beriman,
Inna lillahi wa inna illaihi roji-un,
Sesungguhnya dari Allah kita dijadikan,
kapadanya jua kita dikembalikan,
Oh Tuhan,
Alangkah rendahnya hamba-Mu ini,
selamatkanlah kami dari segala dosa dan segala bencana,
Amiin...

Thursday, February 19, 2009

Kuatkan Pegangan Sesama Ummah

Baru-baru ini, pelbagai cerita dan pelbagai karenah yang telah berlaku di negara kita. Sebagai rakyat Malaysia dan sebagai umat Islam, sama-samalah kita berpesan-pesan supaya tidak terjebak ke dalam kancah sandiwara semasa yang kadang kala membuatkan kita sering memberi tomahan serta menuding jari kepada beberapa pihak. Sebagai manusia yang mempunyai fikiran yang matang lagi berpengetahuan, marilah kita eratkan hubungan sesama manusia dan jikalau ada ketegangan hendaklah kita berbincang di atas meja perundingan. Tidak kah kita diberi peringatan sebelum ini? Dan tidak kah kita pernah merasai zaman kejatuhan apabila dijajah satu ketika dahulu? Adakah kita berasa senang ketika negara di dalam keadaan huru-hara? Sejarah itu sebenarnya sangat popular kepada kita dan ditambah pula dengan keadaan semasa yang menimpa ke atas negara luar seperti negara Palestin pada dekad ini. Rusuhan, peperangan, dan yang seumpamanya semakin meningkat dan berleluasa di seluruh dunia. Baiklah tuan-tuan dan puan-puan sekalian, ingin saya membawa kalian untuk melihat kejadian yang berlaku ke atas negara Palestin. Soalan saya kali ini, adakah kerana gilakan kuasa ataupun sengaja hendak menyeksa sesetengah pihak sehingga meragut nyawa? Dan adakah kerana merasai dirinya sentiasa benar dan harta itu boleh membawa kedamaian yang hakiki? Apakah semua ini? Kepada mereka yang suka menindas manusia ataupun yang sentiasa iri hati kepada orang lain, sehingga menyebabkan kematian semestinya akan dilabelkan sebagai pengganas, penjahat, pembunuh, ataupun seumpamanya. Kesombongan dan penderhakaan mereka di atas muka bumi ini sukar dikawal kerana terdapat pihak-pihak tertentu yang sering memburukkan yang lain serta menghasut justeru menjadi pendorong ke arah jalan yang dimurkai. Kepada yang menanggung penderitaan pula mendapat pengalaman yang pahit untuk disimpan dan ia juga menghantui setiap fikiran kerana terkejut dengan tindakan manusia yang hilang keperikemanusiaannya. Perkara seperti ini dapat diketahui oleh umum pada dunia tanpa sempadan masa kini dengan adanya media dan sebagainya. Apa yang membimbangkan ialah keadaan manusia yang semakin rakus dengan kejahatannya dan tidak malu tidak segan melakukan kezaliman kepada sesama manusia semakin berleluasa dan sangat bahaya kepada orang yang cetek pengetahuan mudah untuk terpedaya justeru akan diikuti oleh golongan ini. Pelbagai usaha, pelbagai kaedah untuk menangani masalah ini serta ditambah pula dengan penubuhan-penubuhan tertentu demi menjaga keselamatan dunia, namun darah manusia yang tidak berdosa masih tetap tertumpah di dunia ini. Boleh dikatakan setiap negara diancam dengan peristiwa yang tidak sepatutnya berlaku oleh tangan manusia sendiri. Sebagai hamba Allah yang lemah dan tiada daya untuk melenyapkan masalah ini, kita hanya mampu berdoa dan berserah kepada Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Kuat. Walaubagaimanapun, hendaklah kita berusaha dan mencari jalan yang terbaik yang pernah dinasihatkan oleh Nabi Muhammad solallahu 'alaihi wassalam dengan berpegang kepada dua, yakni Al-Quran dan As-sunnah. Jika kita berpegang kepada kedua ini nescaya akan berbahagialah hati-hati setiap insan dalam menghadapi pelbagai ujian dan dugaan. Apa yang dilihatkan yang berlaku pada negara dan dunia masa kini ialah berpunca dari tangan manusia sendiri. Sebagai umat Islam hendaklah kita mengikuti ajaran Allah dan RasulNya seperti jauhkan diri daripada melakukan kemungkaran atau kejahatan di muka bumi. Selain itu, kita juga diajar untuk melakukan segala kebaikan dan membantu sesiapa sahaja serta memberi pertolongan kepada manusia terutamanya mereka yang susah lagi miskin. Sebagai umat Islam hendaklah kita kuatkan ibadah kepada Allah ta'ala dengan mentaati suruhan-Nya dan juga Rasul Nya. Jadikanlah pengajaran yang sudah termeterai samada dalam kitab, buku, surat khabar mahupun di television untuk menjadi manusia yang berguna. Hormatilah orang tua dan hulurkan bantuan kepada orang miskin tak kira perbezaan warna kulit, pangkat, wajah, bangsa dan agama, yang penting kita adalah manusia yang sama-sama menumpang di atas dunia yang sementara. Tiada salahnya jikalau kita sentiasa berbuat baik sesama manusia dan tiada kerugian untuk kita mengeratkan perhubungan sesama insan. Tiadalah gunanya harta yang banyak jika menjadi orang yang sombong lagi zalim dan tiadalah gunanya pangkat atau darjat yang tinggi sekiranya tidak dihormati orang lain. Walaubagaimanapun pintu taubat masih terbuka dan sesiapa yang pernah melakukan kezaliman atau kejahatan, janganlah berputus asa dengan rahmat Allah, berubahlah menjadi insan yang berguna kerana sesungguhnya Allah Ta'ala akan memberi keampunan dan syurga kepada hambaNya yang bertaubat dan beramal soleh. Wallahualam

Firman Allah Ta'ala dalam surah Ali 'Imran ayat 103 dan 104
[103]Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. [104]Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Tuesday, February 17, 2009

Mukadimah

Assalamu'alaikum kepada muslimin dan muslimah, serta salam sejahtera juga kepada saudara bukan Islam yang melayari blog ini. Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kepada Tuhan Semesta Alam lagi Maha Kuasa yakni Allah subhanahu wa ta'ala dan junjungan besar Nabi Muhammad solallalahu'alaihi wassalam kerana meninggalkan ajaran yang berguna kepada kita semua yakni Al-Quran dan as-sunnah. Tujuan saya membina blog ini adalah kerana Allah Ta'ala untuk membantu diri sendiri dan juga rakan-rakan sekalian dalam menghadapi cabaran dan ujian di muka bumi disamping meningkatkan keimanan untuk menjadi hamba yang soleh lagi bertaqwa. Kepada sesiapa sahaja tak kira apa warna kulit dan juga agama, saya ingin mengajak anda untuk berkongsi apa-apa saja samada kisah-kisah agama, sirah, hadith, kesulitan, stress dan sebaginya. InsyaAllah semoga Allah memberi petunjuk untuk kita mencari jalan penyelesaian dan juga hidayah yang bermanfaat. Semoga kita mendapat keredhaan dan mendapat pengetahuan yang bermakna dari segi 'ilmiah dari rahmat Nya melalui usaha kita ini,amiin...