Baru-baru ini, pelbagai cerita dan pelbagai karenah yang telah berlaku di negara kita. Sebagai rakyat Malaysia dan sebagai umat Islam, sama-samalah kita berpesan-pesan supaya tidak terjebak ke dalam kancah sandiwara semasa yang kadang kala membuatkan kita sering memberi tomahan serta menuding jari kepada beberapa pihak. Sebagai manusia yang mempunyai fikiran yang matang lagi berpengetahuan, marilah kita eratkan hubungan sesama manusia dan jikalau ada ketegangan hendaklah kita berbincang di atas meja perundingan. Tidak kah kita diberi peringatan sebelum ini? Dan tidak kah kita pernah merasai zaman kejatuhan apabila dijajah satu ketika dahulu? Adakah kita berasa senang ketika negara di dalam keadaan huru-hara? Sejarah itu sebenarnya sangat popular kepada kita dan ditambah pula dengan keadaan semasa yang menimpa ke atas negara luar seperti negara Palestin pada dekad ini. Rusuhan, peperangan, dan yang seumpamanya semakin meningkat dan berleluasa di seluruh dunia. Baiklah tuan-tuan dan puan-puan sekalian, ingin saya membawa kalian untuk melihat kejadian yang berlaku ke atas negara Palestin. Soalan saya kali ini, adakah kerana gilakan kuasa ataupun sengaja hendak menyeksa sesetengah pihak sehingga meragut nyawa? Dan adakah kerana merasai dirinya sentiasa benar dan harta itu boleh membawa kedamaian yang hakiki? Apakah semua ini? Kepada mereka yang suka menindas manusia ataupun yang sentiasa iri hati kepada orang lain, sehingga menyebabkan kematian semestinya akan dilabelkan sebagai pengganas, penjahat, pembunuh, ataupun seumpamanya. Kesombongan dan penderhakaan mereka di atas muka bumi ini sukar dikawal kerana terdapat pihak-pihak tertentu yang sering memburukkan yang lain serta menghasut justeru menjadi pendorong ke arah jalan yang dimurkai. Kepada yang menanggung penderitaan pula mendapat pengalaman yang pahit untuk disimpan dan ia juga menghantui setiap fikiran kerana terkejut dengan tindakan manusia yang hilang keperikemanusiaannya. Perkara seperti ini dapat diketahui oleh umum pada dunia tanpa sempadan masa kini dengan adanya media dan sebagainya. Apa yang membimbangkan ialah keadaan manusia yang semakin rakus dengan kejahatannya dan tidak malu tidak segan melakukan kezaliman kepada sesama manusia semakin berleluasa dan sangat bahaya kepada orang yang cetek pengetahuan mudah untuk terpedaya justeru akan diikuti oleh golongan ini. Pelbagai usaha, pelbagai kaedah untuk menangani masalah ini serta ditambah pula dengan penubuhan-penubuhan tertentu demi menjaga keselamatan dunia, namun darah manusia yang tidak berdosa masih tetap tertumpah di dunia ini. Boleh dikatakan setiap negara diancam dengan peristiwa yang tidak sepatutnya berlaku oleh tangan manusia sendiri. Sebagai hamba Allah yang lemah dan tiada daya untuk melenyapkan masalah ini, kita hanya mampu berdoa dan berserah kepada Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Kuat. Walaubagaimanapun, hendaklah kita berusaha dan mencari jalan yang terbaik yang pernah dinasihatkan oleh Nabi Muhammad solallahu 'alaihi wassalam dengan berpegang kepada dua, yakni Al-Quran dan As-sunnah. Jika kita berpegang kepada kedua ini nescaya akan berbahagialah hati-hati setiap insan dalam menghadapi pelbagai ujian dan dugaan. Apa yang dilihatkan yang berlaku pada negara dan dunia masa kini ialah berpunca dari tangan manusia sendiri. Sebagai umat Islam hendaklah kita mengikuti ajaran Allah dan RasulNya seperti jauhkan diri daripada melakukan kemungkaran atau kejahatan di muka bumi. Selain itu, kita juga diajar untuk melakukan segala kebaikan dan membantu sesiapa sahaja serta memberi pertolongan kepada manusia terutamanya mereka yang susah lagi miskin. Sebagai umat Islam hendaklah kita kuatkan ibadah kepada Allah ta'ala dengan mentaati suruhan-Nya dan juga Rasul Nya. Jadikanlah pengajaran yang sudah termeterai samada dalam kitab, buku, surat khabar mahupun di television untuk menjadi manusia yang berguna. Hormatilah orang tua dan hulurkan bantuan kepada orang miskin tak kira perbezaan warna kulit, pangkat, wajah, bangsa dan agama, yang penting kita adalah manusia yang sama-sama menumpang di atas dunia yang sementara. Tiada salahnya jikalau kita sentiasa berbuat baik sesama manusia dan tiada kerugian untuk kita mengeratkan perhubungan sesama insan. Tiadalah gunanya harta yang banyak jika menjadi orang yang sombong lagi zalim dan tiadalah gunanya pangkat atau darjat yang tinggi sekiranya tidak dihormati orang lain. Walaubagaimanapun pintu taubat masih terbuka dan sesiapa yang pernah melakukan kezaliman atau kejahatan, janganlah berputus asa dengan rahmat Allah, berubahlah menjadi insan yang berguna kerana sesungguhnya Allah Ta'ala akan memberi keampunan dan syurga kepada hambaNya yang bertaubat dan beramal soleh. Wallahualam
Firman Allah Ta'ala dalam surah Ali 'Imran ayat 103 dan 104
[103]Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. [104]Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Thursday, February 19, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
hmmm...
ReplyDeletepengisian yg amat padat...